KSSR MATEMATIK TAHUN 2

FOKUS

KERANGKA KURIKULUM KEBANGSAAN

Standard Kurikulum dibina berasaskan kepada enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Ketrampilan Diri; Perkembangan Fizikal dan Estetika; serta Sains, Matematik dan Teknologi. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan sebagaimana rajah di sebelah.


Insan Seimbang

Proses pengajaran dan pembelajaran matematik memberi keutamaan kepada penguasaan pengetahuan dan pemahaman bagi membolehkan murid mengaplikasikan konsep, prinsip dan proses matematik yang dipelajari. Penekanan kepada aspek perkembangan pemikiran murid secara matematik dibina dan dikembangkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berdasarkan prinsip berikut iaitu penyelesaian masalah, komunikasi, penaakulan, perkaitan, membuat perwakilan dan penggunaan teknologi dalam matematik.





 STRUKTUR PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH RENDAH

Setiap murid di Malaysia berpeluang melalui sekurang-kurangnya enam tahun pendidikan asas di sekolah. Ini merangkumi tiga tahun pendidikan di tahap I dan tiga tahun pendidikan di tahap II. Setelah itu, murid boleh mengikuti pendidikan di peringkat pengajian yang lebih tinggi.
TAHAP TUJUAN

I. Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap I bertujuan membina kefahaman, kemahiran matematik dan  
   aplikasi asas.
II. Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap II bertujuan membina kefahaman, kemahiran matematik   
    dan aplikasi yang lebih kompleks di kalangan murid supaya dapat digunakan dalam menangani cabaran 
    dalam kehidupan seharian secara berkesan.

OBJEKTIF

Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik membolehkan murid:
A. Memahami dan mengaplikasi konsep dan kemahiran matematik dalam pelbagai konteks.
B. Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan     
    dengan Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Statistik.
C. Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, di antara bidang matematik dengan 
     bidang lain dan dengan kehidupan harian.
D. Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan simbol dan istilah yang betul.
E. Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan membuat penyesuaian kepada 
     pelbagai strategi bagi menyelesaikan masalah.
F. Berfikir, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan harian.
G. Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan perkaitannya.
H. Menghargai dan menghayati keindahan matematik.
I. Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk membina kefahaman 
    konsep dan mengaplikasi ilmu matematik